Saturday, March 6, 2010

Akhirnya, YB Zulkifli Dipecat.

Kelmarin, YB Zulkifli Nordin telah dipecat daripada Parti Keadilan Rakyat. Perasaan saya ketika menerima perkhabaran itu bercampur-campur antara sedih, marah dan kecewa. Perasaan itu sama seperti 11 tahun yang lalu bila mana DS Anwar Ibrahim ditendang keluar dari kerajaan dan UMNO. DS Anwar Ibrahim merupakan idola saya kerana beliau adalah pemimpin yang bersungguh-sungguh membela agama Islam dan bangsa Melayu. Saya berasa selamat dengan adanya pemimpin seperti beliau di dalam kerajaan.

Saya menyokong PKR pada hari penubuhannya kerana PKR dianggotai oleh kadet2 Anwar Ibrahim. Saya percaya ramai klon Anwar bakal lahir di dalam PKR. Salah seorang klon Anwar yang saya hormati adalah YB Zulkifli Nordin. Dia berani bersuara menyanggah tindakan yang dilihatnya mengancam agama Islam dan bangsa Melayu. Dan saya rasa selamat dengan adanya pemimpin seperti ini di dalam Pakatan Rakyat.

Hari ini, nasibnya sudah seperti Anwar. Dia dipecat tanpa mendapat pengadilan yang sewajarnya. Saya pernah berbicara dengan beberapa orang pemimpin muda PKR melalui facebook agar PKR tidak memecat YB Zul. Jawapan yang saya terima amat mengecewakan. Mereka menyerang peribadi YB Zulkifli, persis seperti mana yang dilakukan UMNO kepada Anwar 11 tahun yang lalu.

Apa lagi yang tinggal di dalam PKR? Dahulu saya menyangka parti baru ini adalah parti reformasi yang memberi kebebasan bersuara dan mengkritik kepada setiap ahlinya. Anwar sudah melatih mereka untuk menghidupkan budaya berhujah bagi menegakkan prinsip perjuangan. Namun hal itu tidak dilakukan, sebaliknya rayuan YB Zulkifli untuk mendapatkan tokoh2 Islam bagi mengadilinya tidak dilayan langsung. Seolah2 tokoh Islam PKR tidak mendapat tempat langsung dalam PKR sama seperti yang dilakukan UMNO 11 tahun yang lalu apabila memperlekehkan nasihat Prof. Harun Din berhubung pertuduhan terhadap DS Anwar Ibrahim.

YB Saifudin Nasution cuba untuk memperbodohkan publik dengan mengatakan kesalahan yang hendak dibicarakan adalah berkaitan laporan polis yang dibuat oleh YB Zulkifli ke atas YB Khalid Samad, dan bukannya pendirian berkaitan kalimah Allah. Namun umum mengetahui bahawa laporan polis itu dibuat bertitik-tolak daripada isu kalimah Allah yang menjadi pertikaian antara 2 YB beragama Islam. Justeru, apa salahnya kalau PKR menyediakan Lembaga Disiplin di kalangan muslim yang arif tentang Islam? Sekurang2nya, mereka dapat membuktikan bahawa tindakan YB Zulkifli yang mengekslusifkan kalimah Allah kepada umat Islam Malaysia itu adalah salah. Tindakan YB Zulkifli membuat laporan polis berhubung penghinaan YB Khalid Samad terhadap undang-undang Islam Selangor itu salah. Rakyat lebih berlapang dada apabila YB Zulkifli mendapat pengadilan yang seadilnya meskipun keputusan itu nanti tidak memihak kepada YB Zulkifli.

Presiden PKR seperti lazimnya hanya berdiam diri terhadap apa yang sedang berlaku dalam PKR. Membenarkan lagi andaian sesetengah pihak bahawa perjuangan beliau hanyalah untuk suami, bukannya parti dan rakyat. YB Zulkifli pernah berjasa membela Anwar ketika beliau dihalau dan diaibkan. Kini, YB Zulkifli menerima nasib yang sama apabila dia dianiayai parti sendiri. Bagaimanakah tindakan Kak Wan sekarang? Harap Kak Wan tidak menjadi seperti kacang lupakan kulit. Berkatalah sesuatu, semoga suara Kak Wan itu dapat memperbaiki keadaan sebelum terlambat.


Kami tetap menyokong DS Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat demi menjatuhkan penguasa zalim dalam kerajaan Barisan Nasional. Namun, sokongan kami itu bukanlah tiket untuk PKR berbuat sewenang-wenangnya sehingga mengguris hati umat Islam yang menyokongnya.

No comments:

Post a Comment